Tuesday 27 February 2018

Kelebihan-kelebihan mengamalkkan sikap bermuafakat dalam kehidupan bermasyarakat.


           Sebuah lagi peribahasa dengan versi yang sama, turut disebut sebagai “serumpun bak serai, sejunjung bak sirih, jangan dipagar nyiur yang condong kelak buahnya jatuh ke halaman orang. Peribahasa dalam rentak perbidalan ini membawa maksud yang tersirat tentang nilai persahabatan, kasih sayang, kejiranan dan menjauhkan sifat sombong meninggi diri. Manusia sebagai makhluk terpilih yang berasal daripada nasab Adam dan Hawa sepatutnya sedar bahawa kita berasal daripada benih yang sama. Masyarakat yang kuat ialah masyarakat yang saling bersatu padu dan saling memahami, ibarat sebatang lidi mudah patah apabila berkumpul menjadi penyapu. Oleh hal yang demikian, seruan ke arah amalan bersatu padu dan seiya sekata wajar diperkasakan dalam mana-mana komuniti kerana amat banyak signifikan di sebalik amalan yang murni seperti itu.
Mafhum daripada sebuah Hadis Rasulullah yang menyatakan, “Antara seseorang mukmin dengan mukmin yang lain bandingannya sebagai suatu timbunan batu-bata yang mendirikan sebuah bangunan, andainya satu yang jatuh, justeru runtuhlah bangunan itu”. Begitulah nilai permuafakatan dan perpaduan yang dapat menatijahkan solidariti ummah. Sesungguhnya kekuatan ummah amatlah penting sebagai maslahat untuk membentuk sebuah negara bangsa yang utuh, dinamik lagi makmur. Benarlah bak kata tokoh falsafah klasik, Aristotle, “Majunya sesebuah negara itu bukan terletak kepada buminya yang subur, sebaliknya terletak pada rakyatnya yang bersatu padu, bebas dan merdeka”. Hubungan akrab antara bangsawan, berpangkat darjat hingga marhaen memberi isyarat bahawa rakyat di sesebuah negara itu amat teguh solidaritinya ibarat resam hidup ke gunung sama didaki ke lurah sama dituruni, hati kuman sama dicecah, hati gajah sama dilapah.
Sesebuah negara yang teguh perpaduan dalam kalangan rakyatnya mudah menerima pengiktirafan sebagai sebuah kerajaan yang berdaulat, digeruni dan disegani oleh sahabat dan lawan. Oleh itu, resepi yang terbaik, setiap anggota masyarakat hendaklah beriltizam untuk mencurahkan bakti dan taat setia kepada negara melalui agenda perpaduan dalam pengertian peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Rasa hormat dan kagum oleh jiran dan kawan akan membawa tuah kepada sesebuah negara apabila banyak tetangga dan masyarakat antarabangsa akan berkunjung dan menikmati kehidupan penuh harmoni dan sejahtera di negara berkenaan. Secara tidak langsung wadah tersebut memberi seribu rahmat kebaikan apabila industri pelancongan, tukaran wang asing dan peningkatan produk akan berkembang dengan pantas. Demikianlah nikmat perpaduan, untung sama diraih tuah sama dirasa.
Perpaduan turut menjadi prasyarat kemajuan ekonomi sesebuah negara berkembang dengan pesat. Hal  ini tidak boleh dinafikan kerana perpecahan dan pertelagahan menjadi duri dalam daging yang menghalang kemajuan negara. Masyarakat yang pincang dan saling berbantahan tidak berpeluang untuk membangunkan potensi hasil mahsul negara untuk kejayaan iktisad hasil buminya. Apabila timbul anasir salah faham, maka gejala fitnah dan adu domba akan menjalar dalam masyarakat. Elemen negatif seperti ini boleh menjadi barah yang membawa kepada masalah perkauman, pertumpahan darah dan akhirnya kegiatan ekonomi terbantut. Dalam dasawarsa yang mementingkan pelaburan luar sebagai wadah pertumbuhan ekonomi, justeru perpaduan dan keamanan di sesebuah negara akan menjadi pilihan utama pelabur. Hal yang demikian ini dapat dirujuk kepada negara-negara di wilayah Scandinivia seperti Norway, Denmark dan Sweden yang begitu kompetatif pertumbuhan ekonomi kerana keamanan wilayah tersebut bak tenangnya air di kali.
Produk budaya, sejarah warisan dan adat resam dapat disuburkan dan disebarluaskan apabila suasana dalam sesebuah masyarakat itu tenteram. Kehidupan yang aman dan tenteram sentiasa mendambakan nilai-nilai keindahan, estetika dan citra sesuatu bangsa boleh dijadikan identiti negara. Kejayaan beberapa negara maju seperti Eropah, Jepun dan Korea mempertahankan unsur-unsur seni warisan adalah disebabkan oleh sikap bangsanya yang cukup cakna terhadap kehidupan bermasyarakat. Eiffel Tower di Perancis, modenisasi pertanian di Belanda, nilai moral masyarakat Jepun dan Korea telah menggamit jutaan pelancong untuk mengunjungi negara-negara berkenaan pada setiap tahun. Sebaliknya semua produk tersebut menjadi tidak berguna apabila rakyatnya sentiasa bertelagah, bersengketa dan berperang. Inilah ironi yang terjadi kepada legasi sejarah dan tamadun yang terletak di wilayah Arab, Afrika dan benua kecil India kerana jong pecah yu yang kenyang.
Perpaduan dan keamanan menjadi uslub kepada kelestarian zuriat dan warisan bangsa. Sudah sekian banyak bangsa yang pupus nasab dan warisan kerana gagal mempertahankan sebuah masyarakat yang saling bersatu padu dan bersefahaman. Peperangan yang tercetus sejak zaman klasik hingga pascamoden telah memisahkan pertalian persaudaraan. Pemisahan Taiwan sebagai koloni Cina, sejarah air mata Tembok Berlin dan terputusnya saudara mara serta keturunan Korea Selatan dan Korea Utara tercetus disebabkan harga perpaduan telah dilacurkan oleh bangsa itu sendiri. Sebagai bangsa Malaysia, kita harus berwaspada agar pertalian dalam wilayah ini yang ditunjangi oleh peradaban Melayu tidak terkubur begitu sahaja. Lunas yang terpenting, haruslah kita berpegang kepada amanat, serumpun bak serai, seludang bagai tebu.
Kesimpulannya, banyak sekali peribahasa dan amanat orang tua-tua supaya masyarakat bepegang teguh kepada amalan hidup bersatu padu. Amalan bantu-membantu ibarat sedikit tanda ingat banyak tanda ada dan jauhi tingkah laku sokong membawa rebah boleh menjadi paksi tertegaknya masyarakat yang kuat, beridentiti dan berperibadi mulia.




6 comments: