Tuesday 13 February 2018

Faktor-faktor yang mempengaruhi kemasukan pelaburan asing di sesebuah negara.

Usaha kerajaan menarik pelabur-pelabur asing ke negara kita memang wajar kerana pelaburan asing memberikan pelbagai faedah kepada rakyat dan negara.

Bincangkan.



            Pelaburan asing merupakan strategi lautan biru dalam memperkasakan sektor ekonomi kepada sesebuah negara. Dalam konteks pasaran, pelaburan asing bermaksud sesebuah kerajaan atau konglomerat cuba menjualkan teknologi, kepakaran dan produk menjangkau ke pasaran global. Pada era globalisasi kini, pelaburan asing menjadi sebahagian daripada insentif ekonomi berimpak besar untuk melonjakkan pendapatan syarikat mahupun negara. Sama seperti negara-negara di dunia yang lain, Malaysia turut tidak ketinggalan sebagai pemain ekonomi industri yang sedang berkembang dengan membuka dasar pelaburan luar di samping turut menggalakkan pelabur-pelabur tempatan untuk mengembangkan sayap perniagaan di lapangan antarabangsa. Hal demikian telah menunjukkan bahawa pelaburan asing sebagai suatu kemestian jikalau sesebuah negara mahu bersaing di pentas ekonomi antarabangsa. Pelaburan asing yang bersifat rentas negara yang sedang berkembang pesat pada hari ini adalah dipengaruhi oleh beberapa faktor sama ada faktor dalaman mahupun luaran.

            Keamanan dan keharmonian dalam sesebuah negara menjadi bonus untuk negara tersebut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Kini dalam suatu nada untuk mewujudkan kesamarataan sejagat, kestabilan politik dan keamanan di sesebuah negara menjadi agenda penting. Hal tersebut akan mendorong syarikat-syarikat besar di peringkat antarabangsa untuk memperkembang polisi pelaburan mereka di rantau lain. Dengan hal yang demikian, setiap negara mula menggerakkan inisiatif agar iklim politik dan keamanan domestik sentiasa terkawal. Dengan keyakinan tersebutlah, syarikat-syarikat ternama antarabangsa seperti Apple, Panasonic, IBM, SAMSUNG dan sebagainya sudah wujud dalam lingkungan geopolitik antarabangsa. Asas yang utama daripada minat pelabur tersebut adalah atas faktor keselamatan dan iklim pelaburan yang menjamin keuntungan.

            Polisi yang telus dan mesra pelabur yang diamalkan oleh sesebuah kerajaan turut menyokong pelaburan asing. Kebanyakan negara Dunia Ketiga khususnya mula membuka mata kepada pelaburan asing sebagai suatu strategi untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat mereka. Hal demikian telah membuka laluan kepada berkembangnya pasaran luar oleh negara-negara industri seperti Jepun, Amerika Syarikat dan negara-negara EU. Di Asia Tenggara sendiri, polisi yang dilaksanakan oleh negara-negara seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand telah membuka peluang pekerjaan yang banyak di samping berjaya memacukan ekonomi domestik. Pada hari ini, industri seperti automobil yang dikuasai oleh Jepun telah mula membuka pelaburan mereka terutama di Indonesia dan Thailand.  Syarikat-syarikat automotif ternama Jepun seperti Toyota, Honda, Isuzu dan Nissan pada hari ini telah mula memindahkan teknologi mereka terutama ke Indonesia dan Thailand atas dasar ketelusan negara terbabit  dalam polisi pelaburan asing mereka ibarat sambil menyelam minum air.

            Pasaran tempatan di sesebuah negara turut menjadi insentif utama kemasukan pelaburan asing. Matlamat utama pelaburan adalah untuk memperluas pasaran produk. Oleh itu, peluang terbaik kepada pelabur adalah dengan terus menanam modal di negara terbabit. Selain memperoleh bekalan buruh tempatan yang murah, antara 20 hingga 30 peratus produk dapat dipasarkan untuk kegunaan domestik. Sementara itu, bagi kebanyakan Negara Dunia Ketiga, pertumbuhan kadar kelahiran tidak pernah disekat. Sebagai contoh, negara-negara seperti Indonesia 280 juta, Thailand 80 juta, Pakistan 196 juta sudah tentu mempunyai potensi pasaran yang terlalu besar.  Fenomena tersebut telah memberikan insentif besar kepada kemajuan pasaran domestik bak kata peribahasa banyak air ikan tidak mati.
            Pada hari ini dasar buruh di peringkat global menjadi semakin kompleks dengan fenomena pergerakan migrasi dan pendatang. Gelombang perpindahan dari negara miskin ke negara-negara maju dan Negara Dunia Ketiga menyebabkan peningkatan buruh asing di kebanyakan negara semakin sukar dikawal. Fenomena yang sama jelas terjadi kepada Malaysia apabila limpahan buruh asing telah mencecah 6.8 juta orang.  Limpahan tersebut telah memaksa kerajaan lebih berlembut atas dasar kemanusiaan untuk membuka peluang pekerjaan kepada pekerja asing untuk berkhidmat dalam sektor swasta dan syarikat multinasional. Lama-kelamaan dasar tersebut sudah menjadi suatu polisi pula apabila lebih banyak pelabur asing yang berminat untuk melabur. Hal demikian samalah seperti kata peribahasa, di mana-mana ada air bertakung di situlah ikan bernaung.
            Selain itu, kemasukan pelabur asing turut disokong oleh dasar pelaburan kebangsaan yang diamalkan oleh kebanyakan negara.Apabila dirujuk kepada Malaysia, kerajaan melalui MITI sentiasa menghantar misi kempen galakan pelaburan luar ke negara-negara maju. Langkah tersebut yang merupakan strategi serampang dua mata yang memberikan fokus kepada penyediaan peluang pekerjaan dan pemindahan teknologi menyebabkan pelabur luar bagai pucuk dicita ulam mendatang, orang mengantuk disorongkan bantal. Kemasukan pelabur asing juga turut menerima pelbagai insentif daripada pihak kerajaan seperti zon perindustrian bebas, kemudahan prasarana, jaminan pinjaman bank dan keselamatan operasi yang terjamin. Di samping itu, negara turut menerima tempias positif apabila berlaku pemindahan teknologi kepada anak-anak tempatan yang menjadi sebahagian daripada dasar melahirkan lebih ramai tenaga profesional tempatan.
            Tuntasnya, dalam era yang dikawal oleh polisi global kini, sesuatu polisi hendaklah dirancang  untuk mewujudkan situasi menang menang kepada semua pihak yang berkepentingan. Dasar perlindungan dan dasar monopoli sudah tidak relevan lagi.  Hal yang sama sudah tentu berlaku dalam dasar pelaburan antara negara kerana ekonomi menjadi tangan ghaib yang menentukan kedudukan politik dan sosial di sesebuah negara. Sesungguhnya, polisi pelaburan asing yang diamalkan oleh Malaysia pada masa ini adalah tepat juga.
 

1 comment: